Selasa, 30 November 2010

Bersama Ulamak Dari Syria

Salam Perjuangan,  Puji-pujian bagi Allah swt kerana  buat pertama kali diberi peluang untuk bertemu dan mendengar kuliyah magrib dengan ulamak yang terkenal dan tersohor dari syria iaitu As-Sheikh Mohammad Sa’id Ramadhan Al-Butti Hafidzullah di Masjid Shah Alam, Selangor. Antara salah satu kitab penulisannya yang cukup terkenal adalah ‘Fiqh Sirah’ (Pemahaman sirah).
Pengisian yang cukup-cukup bermakna dan terkesan dengan hujah-hujah yang diberikan, rugi bagi sesiapa yang tidak sempat mendengar kerana pelbagai pengalaman dan pengetahuan dikongsi oleh beliau kepada pendengar. Beliau banyak menekan tentang tanggungjawab pada diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara kerana semua ini menjadi intipati bagaimana untuk membina dan mencari kesatuan dalam mewujudkan sebuah negara dalam pemerintahan islam. Menunaikan segala hak-hak Allah swt dan orang-orang lain dengan mengharapkan keredhoanNya.
Beliau juga banyak menitik beratkan kesungguhan untuk terus mengharap dan sentiasa bergantung harap kepada Allah swt, sentiasa merendah diri dan menghina diri di hadapan Allah swt disebabkan pintu-pintu  untuk menghina diri dan merendah diri sentiasa kosong berbanding pintu-pintu untuk  memohon pertolongan dan kesenangan  sentiasa dipenuhi.
Di akhir kalimah beliau, beliau sekali lagi menekan betapa pentingnya untuk kembali mengabdikan diri kepada allah swt dengan senang sentiasa berzikir walaupun dimana berada atau apa-apa keadaan sekalipun. (Semua penulisan ini mengikut pemahaman penulis).


Sabtu, 27 November 2010

Selamat Menduduki Peperiksaan


Salam seperjuangan, sekarang telah masuk musim peperiksaan di setiap university semua pelajar bertukus lumus  siang dan malam serta  sanggup berjaga malam  berjam-jam untuk mencapai  kejayaan yang terbaik dan mengukuhkan pointer masing-masing. 

Pelbagai tingkah laku dan amalan-amalan ditingkatkan. Ruang-ruang  yang sebelum ini kosong disurau dipenuhi oleh  setiap pelajar , hampir tidak kedengaran suara-suara menyembang dan bualan kosong, setiap masa diisi dengan membaca dan berbincang denagn kawan-kawan, mengamal sunnah terutama dalam soal pemakanan dan akhlak Rasulullah SAW  dan ada juga yang berpantang dari melakukan pelbagai maksiat. 

Perubahan yang mendadak dan drastik, lagi elok jika amalan ini berterusan dan berkekalan. Inilah aura akademik sehinggakan melebihi aura ibadah kadang-kadang kala. Biarpun datang pelbagai aura sekalipun, pastikan ia selaras  dengan islam dan selari dengan tujuan manusia diutuskan . Selamat Menduduki Peperiksaan.


Selasa, 9 November 2010

Mari Bertaubat

Taubat adalah kembali kepada Allah setelah melakukan maksiat. Taubat marupakan rahmat Allah yang diberikan kepada hamba-Nya agar mereka dapat kembali kepada-Nya. Agama Islam tidak memandang manusia bagaikan malaikat tanpa kesalahan dan dosa sebagaimana Islam tidak membiarkan manusia berputus asa dari ampunan Allah, betapa pun dosa yang telah diperbuat manusia. 

Bahkan Nabi Muhammad telah membenarkan hal ini dalam sebuah sabdanya yang berbunyi: "Setiap anak Adam pernah berbuat kesalahan atau dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah mereka yang bertaubat (dari kesalahan tersebut)." Di antara kita pernah berbuat kesalahan terhadap diri sendiri sebagaimana terhadap keluarga dan kerabat bahkan terhadap Allah. 

Dengan segala rahmatnya, Allah memberikan jalan kembali kepada ketaatan, ampunan dan rahmat-Nya dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Penyayang dan Maha Penerima Taubat. Seperti diterangkan dalam surat Al Baqarah: 160 "Dan Akulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." Taubat dari segala kesalahan tidaklah membuat seorang terhina di hadapan Tuhannya. 

Hal ini akan menambah kecintaan dan kedekatan seorang hamba dengan Tuhannya karena sesungguhnya Allah sangat mencintai orang-orang yang bertaubat dan mensucikan diri. Sebagaimana firmanya dalam surat Al-Baqarah: 222, "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."



Jauhkan Riak


Riak adalah sesuatu keadaan dimana seseorang itu melakukan sesuatu untuk diperlihatkan bagi mendapat pujian dan perhatian. Ia juga merupakan  penyakit hati yang boleh merosakkan dan menghapuskan segala pengumpulan pahala amalan yang dilakukan. Penyakit Riak digolongkan sebagai syirik kecil yang dapat melicinkan semua kebajikan yang telah  dibuat. Ia menyerang secara diam-diam dan sembunyi-sembunyi  tanpa pengetahuan seseorang itu. Kadang-kadang ia wujud secara terangan dan kadang-kadang secara tidak perasan, yang mana penyakit ini wujud tanpa pengetahuan seseorang itu walaupun seseorang itu mengganggap segala amalannya telah sempurna dan selesai  walaupun seseorang itu mati syahid (minta dijauhkan). 

Ertinya : "Sesungguhnya ada orang yang mati syahid yang akan dihumbankan ke dalam api neraka pada hari kiamat nanti. Lalu ia merasa hairan dan mengadukan halnya kepada allah sambil berkata : wahai tuhanku! Bukanlah aku telah mati syahid dalam membela agamamu? Allah menjawab : tidak! Sebenarnya engkau sanggup mati syahid supaya engkau dikatakan seorang yang berani dan kuat. Dan telah pun dikatakan orang demikian kepadamu. Maka itulah ganjaranmu.."

 Hal ini amat ditakuti oleh seseorang itu sekiranya ia sudah mengenali dan tahu kewujudan penyakit ini. Penyakit ini seringkali timbul pada seseorang yang mahukan pangkat, nama dan kedudukan dengan cepat tanpa bersandarkan kepada pengiktirafan  allah swt semata-mata. Keadaan ini juga berlaku disebabkan kurang kebergantungan kepada allah swt sepenuhnya, segala perbuatan yang dilakukan bertujuan meraih perhatian orang lain.

Jika penyakit ini timbul seseorang itu disarankan cepat-cepat untuk beristghifar bagi segera mohon keampunan. Oleh itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah kembali diri masing-masing, menghitung sejauh mana diri kita terhindar dari sifat riak  ini. 




Khamis, 4 November 2010

Bangunlah Golongan Pemuda

Mainkan peranan wahai golongan pemuda-pemuda untuk menginfakkan diri kamu dalam perjuangan islam yang sebenar sementara kekuatan kudrat masih ada, idea pemikiran yang masih bernas dan semangat berkobar-kobar yang memuncak (darah muda). Mainkan peranan dengan bersungguh-sungguh dan rasa  penuh keyakinan  untuk menjadi penyambung kepada tugas-tugas para nabi dan para-para sahabat.

Yakinlah bahawa kejayaan yang paling besar sedang menunggu dihadapan iaitu syurga yang kekal abadi. Janganlah gentar atau takut untuk berhadapan dengan musuh mereka juga sama seperti kita hamba kepada yang Esa. Tidak ada yang lebih berkuasa  dan yang lebih besar melainkanNya. Walaupun dilihat masa kini bahawa mehnah dan tribulasi sering menjadi batu penghalang untuk kita meneruskan perjuangan, kerana perjuangan ini akan menjadi penjamin kita bila berhadapan dengan yang Maha Esa.

Golongan pemuda haruslah mencari jalan penyelesaian sebaiknya untuk menangkis segala serangan yang boleh membantutkan usahanya dalam mengembangkan dan membangun semula agama islam. Antaranya sentiasa mengerjakan solat secara berjemaah, perbanyakkan membaca al-quran, baca mathurat pagi dan petang, bersolat malam (qiam) dan yang paling penting  dan paling utama tidak meninggalkan usrah (perbincangan agama). Keadaan ini semata-mata untuk mengembalikan semula tujuan asal kita diutuskan di atas dunia ini iaitu kebergantungan kita kepada yang Maha Esa. (...Pemuda yang bersamaku sedang orang tua membelakangiku..Hadith) Semoga beroleh manfaat.



Rabu, 3 November 2010

Didiklah Iman Mu

Bukan mudah untuk menjaga dan mengawal keimanan bagi mengekalkan tahap di kedudukan  tertinggi kerana disebabkan sedikit desakan nafsu dan usikan syaitan akan menurun tahap keimanan kepada yang paling rendah dan berkemungkinan ia akan hilang. Sangat susah untuk mendidiknya, jika terleka dan lalai nilai iman akan terus jatuh. 

           Pengjagaannya dan pengawalannya diibaratkan seperti  seseorang itu sedang berpantang bagi menyembuhkan penyakitnya, bilamana pesakit itu tidak menjaga dan mengawal pantang larang ‘main bedal jer apa yang nak dimakan’ ini akan menyebabkan sesuatu penyakit itu lambat sembuh dan berkemungkinan tidak sembuh langsung. Hal ini sama  macam nilai keimanan seseorang itu, jika seseorang itu melanggar prosedur-prosedur dan disiplin  keimanan seorang mukmin hasilnya, berkuranglah  keimananan dan rosaklah imannya. 

             Jadi sebagai seorang yang beriman, seseorang itu perlu sentiasa dan kerap kali menitikberatkan  nilai keimanannya dengan sering kali memenuhi waktu terluang dengan perkara-perkara yang dapat menguntungkannya di dunia dan yang paling utama di akhirat. Isikan waktu dengan ilmu-ilmu dan amalan-amalan soleh biarlah sedikit pun asalkan beristiqomah.