Jumaat, 15 Oktober 2010

Istiqamah Dalam Ibadah


ISTIQAMAH secara umumnya bermaksud menumpukan komitmen untuk melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh konsisten dan kesungguhan. Ada beberapa perkara yang boleh menjana sikap istiqamah dalam beribadah antaranya :

1. Ilmu yang mantap Kekuatan ilmu adalah perkara utama dalam menjana rasa istiqamah. Melalui ilmu akan menumbuhkan keyakinan dan keimanan yang kukuh. Oleh itu, ilmu pengetahuan adalah perkara yang mesti dipelajari terlebih dahulu sebelum ibadah dapat dilakukan dengan sempurna. Ini kerana tidak mungkin seseorang itu tertumpu kepada sesuatu yang tidak ia ketahui hakikatnya. Perkaitan antara ibadah dan istiqamah telah diungkap oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang tafsirnya:

"Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepada-Nya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhi-Nya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus."(Surah Al Hajj ayat 54).

2. Bersahabat dengan orang-orang yang beristiqamah. Sahabat adalah cermin bagi seseorang sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Nabi SAW dalam hadis Baginda yang bermaksud: "Orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri)." (Hadis riwayat Al-Imam Abu Daud). Orang-orang yang berjiwa istiqamah akan sentiasa berbuat kebajikan, nasihat-menasihati dan tidak mudah berputus asa dan sabar dalam melaksanakan ibadah. Justeru itu, kita perlu berhati-hati memilih sahabat, kerana implikasi bersahabat amat besar dalam mempengaruhi mentaliti dan moral kita.

3. Menghayati sirah orang-orang yang beristiqamah. Sirah dan sejarah hidup orang-orang yang beristiqamah wajar dibaca dan dihidupkan di dalam diri kita. Dengan cara ini, pengaruh positif mereka bakal meninggalkan kesan yang baik kepada seseorang untuk menimbulkan keazamannya dalam meneladani kehidupan mereka. Sikap istiqamah mereka terpancar dari sudut keilmuan seperti kegigihan dalam menuntut serta menyampaikan ilmu dan menulis karya-karya ilmiah yang agung. Selain dari itu, umat Islam perlu juga sentiasa menghayati ketahanan daya istiqamah pejuang-pejuang terdahulu dalam jihad mereka menegakkan Islam dan ketabahan mereka ketika menghadapi kezaliman serta penganiayaan daripada musuh-musuh Allah.

4. Mujahadah melawan nafsu Antara faktor yang dapat membantu kita untuk mencapai sikap istiqamah ialah mujahadah iaitu mengarahkan hati untuk berjuang melawan runtuhan nafsu yang merangsang ke arah kejahatan. Di samping itu, keinginan nafsu serta kehendak-kehendak duniawi wajarlah dibimbing sehingga ia mejurus ke arah kebaikan dan keikhlasan, kerana Allah SWT semata-mata. Memang tidak dapat dinafikan mujahadah melawan hawa nafsu itu tidak mudah, ia adalah suatu yang mencabar dan perlu ditempuhi bagi mereka inginkan jalan akhirat. Segala kesulitan dalam bermujahadah melawan hawa nafsu adalah ujian yang perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh dan sabar serta tawakal kepada Allah SWT.

5. Doa memohon pertolongan Allah. Umat Islam perlu berdoa memohon pertolongan Allah SWT dalam apa jua urusan hidup, sama ada di saat senang mahupun di waktu ditimpa kesusahan. Doa adalah senjata bagi orang mukmin dan dalam hal ini ulama hadis, Al-Imam As-Syaukani menyatakan bahawa doa merupakan darjat ibadah paling tinggi dan mulia. Justeru itu, umat Islam perlu menggunakan senjata rohaniah ini untuk memohon hidayah Allah supaya segala tuntutan dapat direalisasikan secara istiqamah dan dengan penuh rasa keikhlasan. Istiqamah merupakan keperluan asasi dalam segenap ibadah, kerana ia adalah bukti ketaatan dan kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT. Meskipun ibadah yang kita lakukan itu kecil sahaja, tetapi jika dilaksanakan secara istiqamah, maka ia lebih disukai oleh Allah berbanding yang besar, tetapi tidak disertai dengan sikap istiqamah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan