Ahad, 22 Julai 2012

Puasa Membina Taqwa


Salam sahabat2, semoga sentiasa berada dalam rahmatNya dan inayahNya. Terasa singkat sangat masa berlalu. PeJam celik Bulan Ramadan ketemu lagi rasanya baru sangat Bulan Ramadan yang lepas meninggalkan kita. Biasalah dunia akhir zaman semua perkara menjadi amat cepat,  yang pastinya kita harus sentiasa bersedia untuk kehidupan selepas mati nanti. Alhamdulilah kali ini Allah swt memberi lagi peluang untuk berada dalam bulan Ramadan. Apa yang  pentingnya ibadah untuk Ramadan kali ini harus lebih baik daripada ibadah Ramadan yang sebelum ini. 

Penghasilan ibadah yang berkualiti harus dititik beratkan bukan hanya sekadar memenuhi syarat dan kehendak dalam beribadah kepada Allah swt, kita yakin bahawa pada awalnya bulan Ramadan adalah kerahmatan pertengahannya adalah pengampunan dan pengakhirannya adalah pembebasan dari api neraka. Akan tetapi cuba lihat dan nilai sendiri adakah amal ibadah kita memenuhi dan setaraf dengan ketiga2 pengurniaan Allah swt untuk hambaNya.

Puasa merupakan medan tarbiyyah untuk kita melatih dan mendisiplinkan diri untuk terus bertaqwa kepada Allah swt bukan hanya di bulan Ramadan tetapi pada bulan2 yang lainnya.Mereka yang berjaya mengharungi latihan pada bulan Ramadan tidak akan bermasalah untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang kerana semasa berada di medan tarbiyyah Ramadan mereka berjaya mendidik diri untuk membina ketaqwaan kepada PenciptaNya.

Berlatih untuk patut perintah Allah swt yang sunat di samping yang wajib. Islam perintahkan umatnya sahur pada waktu akhir, berbuka puasa diawalkan waktunya, membaca al-Quran dan berzikir. Allah juga perintahkan solat Tarawih sebanyak mungkin. Kalau semua perintah Allah swt ini dapat dipatuhi umat islam secara  istiqamah sehingga akhir Ramadan, pasti mereka akan beroleh sebahagian rasa taqwa.

Berlatihlah untuk meninggalkan larangan Allah swt yang makruh apatah lagi yang haram. Oleh sebab itu janganlah makan sahur pada awal malam tetapi bangun pada akhir malam sehingga masuk Subuh. Janganlah melambatkan berbuka puasa dan makan dalam jumlah yang sederhana.

Dalam tempoh berpuasa itu setiap umat Islam diminta supaya bercakap dengan baik, membaca al-Quran, tidak bercakap sia-sia apatah lagi mengumpat dan membuat fitnah. Bayangkan kalau selama sebulan kita boleh menjaga lidah ke arah kebaikan, apakah mungkin masih ada lagi dosa lidah. Percayalah mereka yang boleh mempertahankan sikap itu sudah pasti layak beroleh taqwa.